Mekah Pusat Dunia: Hubungan Brunei dan Kota Mekah (Siri MIB)


Mekah pusat dunia: Hubungan Brunei dan Kota Mekah
September 4, 2017

Oleh Dr. Muhammad Hadi Muhammad Melayong
Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

MEKAH pusat dunia bermaksud bahawa setiap umat Islam di dunia ini akan berkiblatkan Kaabah di kota Mekah di mana pun mereka berada setiap waktu bahkan sekira ia mempunyai kemampuan maka adalah menjadi kewajipannya untuk menziarahi kota suci Mekah Al-Mukarammah serta kota Nabi Muhammad SAW di Madinah Al-Munawwarah. Nukilan ini cuba memaparkan sejarah hubungan alam Melayu khususnya Brunei dengan Mekah sebagai pusat dunia. Bagi umat Islam di Negara Brunei Darussalam hubungan ini telah lama terjalin berlandaskan agama di mana setiap umat Islam yang berkemampuan berkewajipan mengerjakan ibadah haji dan umrah sekurang-kurang sekali seumur hidup. Ibadat haji dan umrah adalah menjadi rukun Islam yang kelima, wajib dikerjakan oleh umat Islam yang memiliki berkemampuan daripada segi perbelanjaan dan kesihatan untuk sampai ke Baitullah di tanah suci Mekah serta aman perjalanan, sekali dalam seumur hidup. Perintah wajib menunaikan haji telah termaktub di dalam Al-Quran dan Hadis sebagaimana dalil ayat Al-Quran mengenai ibadah haji yang ertinya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.

Wujudnya Kaabah sebagai kiblat dan pusat dunia adalah dengan kehendak Allah Azza Wajalla menerusi firmanNya dalam Surah Al-Maidah ayat 97, yang ertinya: “Allah telah menjadikan Kaabah itu rumah suci menjadi pusat peribadatan bagi umat manusia”. Nabi Allah Adam Alaihissalam merupakan dari kalangan manusia yang pertama mendirikan Kaabah dan penciptaan bumi berasal dari tempat terdirinya Kaabah sekarang. Pada zaman Nabi Nuh Alaihissalam, telah berlaku banjir besar tempat ini telah dipelihara Allah dengan di angkat. Kemudian Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anaknya Nabi Ismail telah membina semula dengan wahyu dari Allah di tapaknya yang asal. Menurut sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim di dalam Kitab Fathul Bari Juz 4 muka surat 47, menyatakan penentuan tanah haram Mekah ialah yang ertinya; “Negeri Mekah telah dijadikan tanah haram oleh Allah Subhanahu Watala pada hari Tuhan menjadikan langit dan bumi dan tanah haram itu dan tetap menjadi tanah haram sehingga hari kiamat. Tidak boleh dijadikan tempat serang menyerang pada masa yang lalu atau pada masa akan datang hanya aku dibenarkan satu jam sahaja pada siang hari aku menawan Mekah.”

Nabi Ibrahim telah menzahirkan Mekah tetap dilindungi daripada gangguan manusia dan terjamin dalam situasi aman. Sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran, Surah Al-Ankabut, ayat 67 yang ertinya; “Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah telah menjadikan negeri mereka (Mekah) di dalam aman.”

Alhamdulillah ikatan dan hubungan kota Mekah dengan Negara Brunei Darussalam yang dieratkan dan dikukuhkan oleh Sultan Sharif Ali ketiga sejak lebih 600 tahun yang lalu. Ikatan dan hubungan ini berterusan sehingga ke hari ini, di mana umat Islam di negara ini yang berkemampuan akan senantiasa menziarahi Kota Mekah dan Madinah setiap tahun bagi mengerjakan ibadah haji dan umrah. Berdasarkan catatan sejarah hubungan rapat antara Nusantara termasuk Brunei dengan dunia Islam di Tanah Arab dapat dilihat melalui tiga aspek, iaitu peranan tarikat, peranan masyarakat Hadramaut dan peranan fardu haji.

Perkembangan tarikat telah berlaku pada akhir pemerintahan khalifah-khalifah di Baghdad. Ia berlaku sezaman dengan kemasukan Islam di Nusantara. Tarikat telah menjadi sebab utama kepada penyebaran dakwah Islam di rantau sebelah sini. Melalui tarikat, muncul kegiatan ahli sufi yang terkenal dari Melaka dan Pasai di zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah (1456-1477), juga kegiatan Hamzah Fansuri di Aceh pada abad ke 16 yang berlatarbelakangkan tarikat Qadiriyah yang beliau terima ketika beliau berada di Baghdad.

Begitu juga kebanyakan daripada Wali Songo (Wali sembilan), seperti Sunan Gunung Jati yang mengembangkan Islam di abad ke-16 di Jawa Barat merupakan pengembang tarikat yang diperolehinya ketika berada di Mekah. Pada abad ke-17 tarikat Sattariyah mula berkembang yang dibawa oleh Abdul Rauf Singkel melalui pembinaan pusat pengajian berbentuk pesantren di Aceh pada 1661; di Minangkabau tarikat telah dikembangkan oleh Syeikh Burhanuddin; Tarikat Khalwatiyah pula cawangan kepada tarikat Suhrawardiyah yang berasal dari Khurasan yang dikembangkan oleh Syeikh Zahirruddin yang meninggal pada tahun 1397, telah disebarkan melalui Syeikh Yusuf pada tahun 1626-1699 yang telah pergi ke Mekah menunaikan fardu haji pada 1644; terdapat juga tarikat Naqsyabandiyah yang dipelopori oleh Syeikh Bahauddin al-Naqsyabandi yang meninggal di Bukhara pada tahun 1388 yang berjaya mempengaruhi tarikat lain seperti tarikat Sattariyiyah. Di sini dapat disimpulkan bahawa kepelbagaian nama tarikat yang telah dibawa dari tempat asalnya seperti India, Khurasan, Baghdad, Bukhara, oleh pedagang-pedagang dari Timur Tengah, Gujarat dan Bangal pula merupakan jaringan kepada perkembangan dakwah Islam di Nusantara sehingga ke kepulauan Borneo.

Masyarakat Arab terutamanya dari Hadramaut, Yaman telah mempengaruhi perkembangan Islam di Nusantara termasuk Brunei di mana kebanyakan sahabat-sahabat Sultan Sharif Ali yang datang ke Brunei dan Borneo berperanan penting dalam perkembangan syiar Islam khususnya dalam Sultan Bolkiah kelima sehingga ke zaman Sultan Muhammad Hassan. Bahkan dengan kedatangan kuasa-kuasa Barat jumlah kedatangan masyarakat Arab di alam Melayu makin meningkat menurut Stamford Raffles, Gabenor Singapura, pada tahun 1812 keseluruhan Pulau Jawa dan Madura, terdapat 621 orang masyarakat ’Arab and Moors’ dan segera meningkat pada tahun 1885 sehingga berjumlah 20,000 orang.. Anggaran ini juga di monograf oleh L.W.C. Van den Berg pada tahun 1905 yang menyatakan jumlah orang Arab dari Hadramaut ialah 30,000 orang. Kebanyakan mereka tinggal di pesisir pantai utara Jawa, Pekalongan, Semarang, Surabaya dan Palembang yang menjalankan kegiatan perdagangan dan dakwah Islam. Begitu juga kebanyakan orang-orang Arab di Brunei dan kepulauan Borneo sebagai pedagang dan ada yang menetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan berperanan menyebarkan dakwah Islam.

Faktor ketiga yang mengeratkan hubungan Alam Melayu dengan Mekah ialah ibadah haji. Ketika British mula bertapak di Brunei pada awal kurun ke 20, diceritakan bahawa seorang Bangsa Inggeris telah menunaikan ibadah haji pada tahun 1910, iaitu Hedley Churchward, nama Islamnya Mahmoud Mobarek. Beliau adalah orang Inggeris pertama yang tercatat dalam sejarah menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu naik haji ke pusat dunia dengan menempuh perjalanan selama lima bulan. Pada masa dulu, menziarahi rumah Allah adalah satu perjuangan dan dugaan bagi setiap hamba Allah. Ianya juga menguji kesabaran dan keimanan hambanya.

Bagaimanapun jauh sekalipun pusat dunia berada, namun setiap hamba Allah tetap berkewajipan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima sekali mereka berkemampuan. Tetapi jarak kejauhan bukan faktor penting yang menentukan seseorang itu mudah dan senang untuk menjadi tetamu Allah. Semuanya adalah bergantung kepad takdir dan kehendak Tuhan Maha Berkuasa, hambanya hanya berusaha untuk mencapai segala harsat dan keinginan masing-masing. Walaupun rumahnya berdekatan dengan Rumah Allah tetapi tidak semestinya mudah baginya untuk menjadi tetamu Allah.

Oleh itu sangat beruntunglah setiap hamba yang dikurniakan oleh Allah sebagai tetamuNya di Mekah khususnya rombongan haji dari negara ini yang sedang berada di Kota Mekah Al-Mukarramah, semoga mereka semua mendapat haji yang mabrur.

Bagi Brunei, Sultan yang awal menunaikan haji ke Mekah adalah Sultan Brunei ketiga yang memang berasal dari Taif dan pernah menjawat jawatan Gebenor Kota Mekah. Meskipun kita tidak mempunyai catatan awal tentang orang pertama di Brunei yang menunaikan haji ke Mekah tetapi kenyataannya Sultan Sharif Ali adalah rakyat Brunei yang pertama menziarahi rumah Allah. Selepas itu, kita juga tidak menafikan bahawa penghijrah orang-orang Brunei ke Mekah telah bermula dengan pengenalan kapal layar yang memakan masa berbulan bahkan mungkin bertahun baru balik ke Brunei. Perhubungan ini bertambah erat dengan kedatangan kuasa-kuasa Barat yang memperkenalkan sistem perhubungan laut dengan menggunakan kapal wap. Ini terbukti bahawa dengan petapakan British ke Brunei apabila Pulau Labuan dijajah pada tahun 1846. Orang-orang Brunei telah mula mengerjakan haji ke Mekah dengan menggunakan kapal laut melalui Labuan, kemudian ke Singapura dan Pulau Pinang yang memakan masa lebih kurang tiga bulan.

Oleh itu, perhubungan masyarakat Brunei dengan Kota Mekah dan Madinah telah dijalin menjadi erat melalui jalan laut. Dari Jeddah menuju ke Madinah atau Mekah menggunakan jalan darat yang pada dahulu menunggang unta dan bermalam di padang pasir sebelum sampai ke Madinah. Sekarang, dengan menaiki pesawat memakan masa dalam masa lebih kurang tujuh jam dan kemudian menaiki bas dari Jeddah memakan masa enam jam bergantung kepada keadaan jalan yang dilalui.

Bagaimanapun mengikut catatan sejarah bahawa Sultan Muhammad Ali (TM 1660 – 1661) adalah merupakan Sultan Brunei yang kedua menunaikan haji ke Mekah selepas Sultan Sharif Ali. Perkara ini terbukti berdasarkan batu nisan Baginda yang tercatat perkataan haji. Kemudian dalam pemerintahan Sultan Muhammad Tajuddin (TM 1795-1804) (TM 1804-1807) dalam awal kurun ke-19 dikatakan bahawa Baginda mempunyai tanah wakaf di Kota Mekah. Perkara ini telah diuruskan oleh seorang ulama Brunei yang terkenal iaitu Khatib Haji Abdul Latif yang telah berurusan dengan pihak Kerajaan Arab Saudi, di Mekah untuk membina rumah tersebut yang terletak berdekatan dengan Masjidil haram.

Rumah wakaf ini telah dijaga oleh Brunei sendiri yang bermastautin di Mekah sehingga ke zaman pentadbiran British di Brunei. Kebanyakan masyarakat Brunei menunaikan haji ke Mekah menggunakan kapal laut terutama dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin dan kemungkinan sewal-awalnya dalam zaman kedatangan Inggeris ke Brunei dalam awal abad ke-19. Di antara tokoh terkenal dalam sejarah Brunei ialah Pehin Khatib Haji Abdul Latif sendiri dalam tahun 1800-an dan juga Haji Saman seorang pembebas Brunei dari jajahan Inggeris.

Berdasarkan setengah cerita orang-orang tua, Haji Saman telah tinggal di Mekah selama empat ke lima tahun mempelajari dan mendalami ilmu agama Islam. Dalam hubungan masyarakat Brunei dengan Kota Mekah, penulis telah mendengar cerita aneh yang sukar dipercayai tetapi benar.

Misalnya ketika Haji Saman mahu menunaikan haji ke Mekah dikatakan bahawa beliau masih berada di rumahnya di Kampong Ayer sedangkan ia sudah pun berada dalam kapal haji yang menuju ke Jeddah.

Pada zaman ini tidak banyak orang Brunei yang menunaikan haji ke Mekah melainkan orang benar-benar mampu daripada segi kewangan dan juga mencukupi daripada segi ilmu keagamaan serta semangat keberanian yang tinggi. Hanya mereka yang sabar, cekal, tahan lasak dan berani yang sanggup mengharungi lautan selama berbulan tinggal di atas kapal. Haji Saman bukan saja terkenal sebagai seorang gagah dan berani tetapi juga seorang yang warak dan alim. Dalam zaman pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddien II, beliau juga adalah penasihat Baginda dalam bidang politik.

Tetapi jumlahnya tidaklah begitu ramai iaitu tidak melebihi angka ratusan orang kecuali selepas Perang Dunia Kedua apabila Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali’ Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien berangkat sendiri menunaikan fardu haji pada tahun 1950-an dengan menggunakan kapal laut ke Labuan dan Singapura dan menaiki pesawat dari Singapura. Jemaah haji Brunei mula menaiki pesawat kapal terbang sepenuhnya pada tahun 1976 sehingga ke dewasa ini tetapi sebelumnya sepanjang tahun 1960-an mereka menggunakan jalan laut dan juga udara. Pada umumnya dalam tahun 1960-an jemaah Brunei akan bertolak dari Brunei dengan menaiki kapal SS Anson menuju ke Labuan.

Di Labuan mereka akan tinggal beberapa hari sebelum berangkat ke Singapura bersama dengan jemaah dari Kepulauan Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Di Singapura mereka akan menunggu berminggu-minggu sebelum bertolak ke Jeddah. Cerita orang Brunei menziarahi Pusat Dunia ini dikenali dengan nama Berkarut iaitu ikatan tradisi Brunei bagi mengikat kaban atau bag untuk dibawa ke Mekah.

Memandangkan, masa bagi menunaikan haji adalah agak panjang dan peringkat awal urusan bagi orang Brunei menunaikan haji adalah diuruskan oleh amil-amil atau syeikh di Mekah dan sekarang ini diuruskan melalui agen-agen pelancongan yang dilantik oleh pihak kerajaan. Ketika zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, meskipun pihak British Residen berkuasa dalam bidang pentadbiran dan kewangan namun masyarakat Brunei tidak disekat untuk menunaikan umrah atau haji ke Mekah seperti yang berlaku di negara tetangga ketika itu, kerana takut dipengaruhi pergerakan kesedaran semangat nasionlaisme yang di pelopor oleh golongan reformasi Islam khususnya dari Timur Tengah.

Alhamdulillah, inilah rahmat dan nikmat yang kita perolehi melalui kewujudan pemerintahan sistem beraja dari sejak dari zaman Sultan Muhammad Shah pertama sehingga ke dewasa ini. Islam telah melengkapkan kesempurnaan dalam hidup bermasyarakat dan bernegara di bumi Brunei Darussalam. Dengan perkembangan syiar Islam sejak pemerintahan Sultan Sharif Ali pancaran nur dari Kota Mekah telah menjadi sumber kesejahteraan dan kemakmuran di bumi Brunei Darussalam. Semoga ikatan dan hubungan bumi Brunei dengan Kota Mekah Al-Mukarramah akan berterusan khususnya berdasarkan kewajipan beragama dalam mengerjakan Rukun Islam kelima iaitu Haji dan Umrah.

Ihsan Media Permata

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island