Sultan's 68th Birthday Speech

On 14th August 2014, His Majesty the Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam delivered his titah (speech) on the occasion of his 68th birthday celebrations:


+++++

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah kurniaNya jua, dapatlah kita meraikan Hari Keputeraan Beta pada tahun ini, dalam suasana aman dan sejahtera.

Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada tetamu-tetamu khas Beta, yang sudi hadhir ke istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta serta keluarga, besempena dengan perayaan ini.

Sekali lagi pada tahun ini, istiadat perayaan diadakan selepas umat Islam di negara ini selesai menyempurnakan ibadat puasa Ramadhan dan menyambut Hari Raya ‘Idil Fitri.

Alhamdulillah, dengan menyedari akan keberkatan berpegang teguh kepada ugama, maka kita telah dapat meneruskan lagi kehidupan ini dengan penuh selesa serta dengan rancak dapat membangun di bidang-bidang yang diperlukan.

Beta sangat meyakini akan faktor “keberkatan” itu, yang menjadikan Negara Brunei dapat berkembang dengan baik. Di bidang ekonomi, penumpuan sedang diberikan kepada, mempelbagai dan menaikkan lagi kadar pertumbuhan ekonomi. Ini, termasuklah antara lain, dengan memudahkan kemasukan Pelaburan Langsung Asing dalam pelbagai sektor, memajukan sektor swasta, memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan iklim pro-busisness.

Dalam usaha mempelbagaikan ekonomi, Beta sangat gembira mengetahui adanya inisiatif untuk menarik Foreign Direct Investment, FDI yang berkualiti ke negara ini, yang sudahpun menampakkan tanda-tanda pencapaian awalnya yang positif.

Di sektor minyak dan gas pula, Pulau Muara Besar kini telahpun mula dimajukan bagi penyediaan tapak projek pembinaan kilang penapisan minyak bersepadu atau “integrated oil refinery” dan industri-industri berkaitan yang menjanjikan banyak peluang pekerjaan.

Sementara itu, sebuah kilang pembuatan ubat atau “pharmaceutical manufacturing plant”, yang bertaraf dunia telahpun siap dibina dan kini sudah mula beroperasi.

Selain itu, sebuah syarikat terkemuka antarabangsa dibidang ‘simulation training’ juga, telah membina Multi-Purpose Training Centrenya di Brunei Darussalam, sebagai pusat latihan utamanya di rantau ini. Ia juga sudah mula beroperasi.

Bio Innovation Corridor (BIC), seluas 500 hektar untuk menarik pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan, R&D, pembuatan dan komersil, adalah merupakan satu lagi sektor berpotensi untuk memantapkan lagi ekonomi serta mampu bagi membuka peluang-peluang pekerjaan secara lebih meluas.

Dalam ekonomi, objektif negara ialah untuk menjadi sebuah ‘kuasa ekonomi’ yang dinamik, yang mampu untuk menduduki tempat ke sepuluh teratas di dunia dari segi pendapatan per kapita.

Ini bererti, kita adalah dikehendaki untuk meningkatkan pendapatan negara ke tahap B$80 bilion ringgit menjelang tahun 2035, berbanding hanya B$20 bilion ringgit sahaja ketika ini. Ini juga turut merujuk kepada ekonomi negara supaya ia dapat tumbuh sekitar 5 ke 6% setahun.

Oleh yang demikian, Beta berharap supaya semua pihak, sama ada kerajaan mahupun swasta, akan dapat melipatgandakan usaha masing-masing untuk mencapai sasaran ini.

Khusus mengenai peluang pekerjaan pula, mengikut Banci Awal Majikan dan Pekerja 2013, dari seramai 140,000 tenaga kerja di dalam kira-kira 10,000 buah syarikat yang aktif, kira-kira 65% adalah terdiri daripada pekerja asing. Maka sehubungan ini, dengan mengambilkira kadar pengangguran yang ada, kita adalah wajar untuk mempunyai satu dasar pengisian pekerjaan yang seimbang.

Alhamdulillah, sejauh ini kita sudah dapat memenuhi sebahagian dari sasaran untuk mengurangkan pengangguran. Di sektor minyak dan gas sahaja misalnya, sasaran sehingga 2014 untuk memberikan 3,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan telahpun hampir tercapai.

Namun begitu, kita juga tidak boleh lepas pandang terhadap peluang-peluang pekerjaan di sektor bukan minyak dan gas. Kearah ini, Kerajaan Beta telah memperkenalkan satu dasar baru untuk dilaksanakan secara berperingkat. Dasar itu pada asasnya adalah bertujuan untuk menseimbangkan di antara pengambilan pekerja tempatan dan pekerja asing, melalui kaedah-kaedah pengawalan tertentu.

Di bidang pendidikan, Kerajaan Beta sangatlah prihatin terhadap semua sektor pendidikan bagi memenuhi keperluan sosio-ekonomi dan kesejahteraan di negara ini.

Di antara langkah yang telah dibuat ialah, menyediakan satu skim, yang dipanggil Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam, bagi tujuan untuk menarik minat sumber tenaga manusia dari kalangan tenaga akademik yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Beta juga telah memperkenalkan satu Perintah Penubuhan Institut Pendidikan Teknikal Brunei selaku peneraju kepada kemajuan pendidikan teknikal dan vokasional.

Ini penting, bagi melahirkan golongan berpendidikan mahir lagi marketable sebagai persiapan kita menghadapi cabaran-cabaran ekonomi yang bersifat global yang berteraskan knowledge-based.

Satu langkah untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu memenuhi syarat menerima biasiswa, supaya mereka itu dapat melanjutkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara, maka Beta juga telah memperkenankan satu Skim Kemudahan Pinjaman Pendidikan. Skim ini akan memberikan kemudahan pinjaman kewangan yang ‘affordable’ kepada pelajar-pelajar berkenaan bagi menampung kos pengajian dan sara hidup mereka.

Untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tertentu, khasnya bagi mata-mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik, Beta juga telah memperkenankan satu peruntukan tambahan berjumlah $270 juta ringgit untuk tempoh selama tiga tahun, bagi menampung kos mendatangkan tenaga pengajar daripada luar negara bagi mengajar mata-mata pelajaran berkenaan.

Di bidang infrastruktur perhubungan pula, Pelan Induk Pengangkutan Darat telahpun siap disediakan. Selain menyediakan jaringan perkhidmatan jalan raya yang effisien, pelan ini juga mengandungi ‘blueprint’ kemajuan ekonomi di bawah sektor ini.

Projek meningkatkan infrastruktur pelabuhan dan memodenisasikan lapangan terbang yang sedang berjalan pada masa ini, akan membuka luas pengkomersilan perkhidmatan-perkhidmatan di bawahnya, bagi menjana lebih banyak lagi peluang perniagaan dan pekerjaan.

Di bidang kesejahteraan, perhatian adalah terus diberikan untuk menangani jenayah. Dalam hal ini, Beta ingin mengingatkan mengenai ancaman siber yang berbahaya terutama kepada kanak-kanak.

Kementerian Perhubungan adalah sedang giat merangka kerja-kerja untuk “Child Online Protection” bagi melindungi kanak-kanak yang menggunakan internet, daripada terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif dan ancaman cybercrime.

Mengenai Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), in sha Allah, tidak lama lagi ia akan mempunyai fasiliti Khemahnya sendiri di Daerah Temburong, Satu struktur organisasi baru untuknya telahpun Beta perkenankan bagi memperkasakan lagi program ini.

Untuk memantapkan segala agenda pembangunan, Beta telah memperkenankan penubuhan Majlis Wawasan 2035 yang akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara dan Unit PENGGERAK di Jabatan Perdana Menteri. Peranan utama Majlis ini ialah untuk membantu secara intensif dan sistematik perlaksanaan usaha-usaha agensi-agensi Kerajaan Beta dalam merealisasikan hasil pencapaian objektif-objektif Wawasan 2035.

Di arena antarabangsa, negara kita akan terus mengekalkan dasar berbaik-baik dengan saling hormat menghormati dengan negara-negara sahabat, disamping mengukuhkan kerjasama di pelbagai bidang dan peringkat, bagi keamanan dan kesejahteraan bersama.

Menyebut perkara keamanan dan kesejahteraan ini, Negara Brunei Darussalam adalah sangat bersimpati terhadap rakyat dan Negara Palestin yang sedang diragut keamanan dan kesejahteraan mereka oleh musuh yang tidak berperikemanusiaan. Musuh ini begitu tergamak membunuh kanak-kanak, kaum perempuan, orang tua dan lain-lain warga awam yang tidak berdosa. Mereka juga memusnahkan bangunan, tempat kediaman dan tidak terkecuali rumah ibadat dan sekolah, tanpa mengambilkira, jenayah ini dilakukan dalam bulan suci Ramadhan, dimana orang-orang Islam sedang melaksanakan ibadat berpuasa.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha untuk menjayakan Perayaan ini.

Beta berdo’a semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan senantiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan dengan limpah rahmat dan perlindungan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island