Asal Tempat Kampung Parit, Brunei

Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin diiringi oleh British Resident dan pembesar-pembesar negara semasa hendak berangkat ke Office Kajang pada tahun 1930.

Kawasan Kampung Parit dan Sungai Parit pada zaman dahulu yang kini telah menjadi kawasan KUPU SB, di mana kawasan airnya begitu luas sehingga masyarakat Kampong Ayer pada masa itu menjadikannya sebagai tempat ‘penaikan’. Kampung Parit ini juga pada dahulunya adalah ladang getah.

Papan tanda berwarna putih (kanan) bertanda Kampung Parit adalah bukan tempat asal Kampung Parit, yang berada di perairan Sungai Kedayan.

Tapak Istana Parit, tempat bersemayam Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, di mana pada masa sekarang adalah tapak Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Asal tempat Kampung Parit

April 29, 2017

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

MENURUT orang-orang tua yang berasal dari Kampong Ayer dan waris keturunan dari Kampung Tamoi, Kampung Pengiran Tajuddin Hitam, Kampung Pengiran Kerma Indera Lama dan Kampong Pengiran Bendahara Lama, mereka merasa kecewa dan kurang senang dengan papan tanda yang terpacak bertulis Kampung Parit berdekatan dengan tebing perairan Sungai Kedayan.

Belum ada pihak-pihak tertentu memeduli atau memindah papan nama Kampung Parit itu. Generasi-generasi baru pada masa ini sudah tentu percaya terhadap papan tanda yang dinyatakan dan mereka pasti kurang mengetahui di mana asal tempat Kampung Parit yang sebenar.

Menurut Penghulu Mukim Tamoi, Pengarah Haji Mokti bin Mohd Salleh dan beberapa penduduk purih yang berasal dari kampung berkenaan, papan tanda Kampung Parit yang ada pada masa ini boleh mengelirukan orang ramai yang melintasinya. Jika ianya tidak dibetulkan sudah pasti akan terpacak di sana selama-lamanya begitu sahaja.

Menurut beliau lagi, sebelum Kampung Sumbiling Lama dan Kampung Bukit Salat dirobohkan, kampung-kampung tersebut terlibat dengan pembinaan tapak Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dalam tahun 1950an. Dua buah kampung itu juga terlibat dengan pembinaan rumah-rumah di Jalan Tutong, perairan Sungai Kedayan dan diberi nama Kampung Sumbiling Baru.

Pada tahun 1970, penduduk Kampung Sumbiling Baru berpindah lagi ke darat ke Perpindahan Kampung Mata-Mata Gadong sehinggalah sekarang. Kerja-kerja meroboh dan menembok bermula pada tahun itu di mana projek-projek membesarkan jalan raya menuju Jalan Tutong giat dilaksanakan. Begitu juga kerja-kerja menembok dan membesarkan bekas tapak Kampung Sumbiling Baru sehinggalah ke kawasan Kampung Ujong Bukit, di mana kerja-kerja itu mula dilaksanakan bagi pembesaran jalan raya dan pembinaan bangunan Mahkamah Besar yang dikatakan bukan asal Kampung Parit seperti yang terpacak berdekatan tebing Sungai Kedayan pada masa ini.

Manakala menurut cerita daripada orang-orang tua Kampong Ayer berdekatan dengan Kampung Parit menyatakan bahawa Istana Parit terletak di simpang masuk Makam Diraja, jalan antara Masjid Tamoi dan kawasan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di mana tempat bersemayam Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin (Sultan Brunei ke-27) bersama Tengku Ampuan Rohani berserta ahli-ahli kerabat Baginda.

Pada zaman itu, hanya terdapat dua batang sungai yang dapat digunakan untuk naik ke Istana Parit melalui jalan sungai, iaitu Sungai Parit dan Sungai Kandang Batu. Menurut cerita Pengarah Haji Mokti, orang-orang yang dititahkan akan memasang khemah, kerusi dan meja bagi persiapan sesuatu majlis seperti menyambut keberangkatan tiba Al-Marhum dari Selangor dan majlis membaca Doa Kesyukuran.

Penjelasan daripada orang-orang tua yang masih hidup ini akan dapat menjadi satu penjelasan kepada asal Kampung Parit agar ianya tidak lagi menjadi satu kekeliruan.

Ihsan Media Permata

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Kuih Mor - A Brunei Favourite

HM Sultan Brunei: Education for Develoment