On 15th July 2009, His Majesty says

Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, diatas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang Ke-63 tahun.

Walaupun semua majlis, kecuali Majlis Membaca Do'a Kesyukuran Di Masjid-Masjid, telah ditangguhkan, namun Beta dapat merasakan, semangat 15 Julai adalah tetap hangat dan segar, sebagaimana juga biasanya pada setiap tahun.

Beta tidaklah lupa menghargai semangat ini dan mengucapkan rasa penghargaan yang amat tinggi kepada semua lapisan rakyat dan penduduk diatas dokongan mereka itu, Beta juga dengan sukacita merakamkan penghargaan yang sama kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat mereka kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.

Kita di Brunei, sayugia bersyukur, kerana negara terus menikmati suasana aman dan tenteram.

lni hendaknya menjadikan kita lebih beriltizam lagi untuk meningkatkan usaha memelihara kesejahteraan dan keselamatan yang berterusan dengan izin Allah.

Walaupun kesan dari krisis kewangan global masih dirasakan oleh kebanyakan negara, tidak terkecuali juga negara kita sendiri, namun alhamdulillah, dalam keadaan yang demikian itu, ekonomi negara masih sahaja mampu bertahan, kerana adanya usaha-usaha kita yang konsisten dalam mengukuh dan mengembangkan asas ekonomi yang dilakukan dari sejak krisis kewangan pada tahun 1997 lagi.

lni disokong oleh lapuran positif IMF baru-baru ini yang menyatakan negara telah mengamalkan dasar makroekonomi yang mantap, serta pengurusan sumber-sumber minyak dan gas yang berkesan dan bijak

Beta amatlah menghargai penglibatan semua pihak, khasnya mereka yang sama-sama menghulurkan bantuan, termasuk sumbangan tenaga dalam menangani pemulihan.

Dengan semangat ini, Beta yakin, akan menambah lagi kebajikan dan keutuhan negara.

Selain kita telah mengalami ujian bencana alam, banjir dan tanah susur, negara juga sekarang turut dilanda pandemik Influenza A H1Nl.

Sebagai bangsa yang bertauhid, kita.tidak hanya menanganinya dengan cara biasa sahaja, malahan juga menambah dengan membaca do’a, qunut nazilah dan sembahyang hajat.

Apapun yang berlaku, negara insya Allah, akan terus bergerak kepada pembangunan.

Rancangan Kemajuan Negara, RKN 2007 - 2012 adalah merupakan satu pakej yang membolehkan ekonomi negara berkembang, infrastruktur dibina dan pembangunan sosial ditingkatkan.

Maka berbangkit dari itu, RKN 2007 - 2012 telah menyediakan 9.5 billion ringgit Brunei untuk melaksanakan projek-projek pembangunan.

Melalui RKN, Kerajaan mengambil langkah untuk mempelbagaikan lagi ekonomi negara.

Sebanyak 1.1 billion ringgit Brunei disediakan untuk kemajuan perindustrian dan perdagangan.

Tumpuan juga diberikan untuk memudahkan lagi kegiatan-kegiatan perindustrian serta untuk melahirkan pengusaha-pengusaha tempatan yang dinamik lagi progresif.

Manakala dalam sektor perniagaan, Beta mengambil maklum bahawa usaha­usaha sedang dibuat oleh pihak-pihak tertentu Kerajaan bagi memudahcara proses memulakan perniagaan yang lebih efisen serta setanding dengan 'standard' di negara-negara lain.

Baru-baru ini Kerajaan Beta telah meluluskan beberapa inisiatif, seperti 'land strata title', penurunan kadar yuran tawaran negara dan terus meneroka kemampuan teknologi infokomunikasi (lCT), bagi memudah dan memajukan lagi perindustrian dan perniagaan.

Sejak beberapa tahun lalu, Beta telah menekankan betapa pentingnya meningkatkan tahap jaminan sekuriti makanan.

Maka sehubungan itu, baru-baru ini, telahpun dilancarkan satu inisiatif bagi mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras kepada 20% pada tahun 2010, dan 60% menjelang tahun 2015.

Alhamdulillah, pada bulan April yang lalu, penanaman padi yang boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan menggunakan padi berhasil tinggi, telahpun dimulakan.

Insya Allah, rakyat akan mula berpeluang untuk menikmati hasilnya dimusim menuai pada bulan depan nanti.

Seiring itu, lebih banyak kawasan baru akan ditawarkan kepada sektor swasta, dari dalam dan luar negara, bagi penanaman padi secara komersial, dan menjadikannya sebagai satu perusahaan yang 'viable'.

Berhubung isu kemiskinan pula, Kerajaan Beta akan terus meningkatkan usaha, sejajar dengan masa dan keadaan.

Sebagai contoh ialah pelaksanaan projek bantuan perumahan bagi golongan dha'if, fakir dan miskin.

Projek ini melibatkan usahasama dan kerjasama beberapa agensi Kerajaan, badan korporat dan orang ramai iaitu selaku penyumbang dana melalui penunaian kewajipan zakat.

Menyebut tentang zakat, Beta masih menunggu apa yang dibuat oleh pihak berkenaan mengenai beberapa perkara yang telah Beta timbulkan di dalam Persidangan Majlis Ugama Islam enam bulan yang lalu.

Salah satu dasar pengukuhan ekonomi ialah amalan jimat cermat dan budaya suka menabung.

Kerajaan amatlah menggalakkan perkara ini.

Kerana itu, Beta berharap supaya institusi-institusi kewangan akan dapat menyediakan banyak lagi peluang dan cara, untuk orang ramai boleh menabung dengan pulangan yang baik.

Selain itu, undang-undang atau peraturan juga perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan rakyat dari diperdayakan oleh kegiatan-kegiatan yang salah, seperti skim cepat kaya.

Diantara komitmen penting Kerajaan Beta untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan rakyat, Beta bersama dengan bekas Perdana Menteri Malaysia pada awal tahun ini, telah menandatangani 'Exchange of Letters' mengenai dengan penghadan sempadan laut negara ini dengan Malaysia.

Melalui persetujuan tersebut, Negara Brunei Darussalam akan mempunyai hak kedaulatan ke atas pentas benua dan 200 batu nautikal zon eksklusif ekonomi.

Beta percaya negara akan menikmati hasil, yang nantinya dapat diperolehi daripada eksploitasi 'hydrocarbon' dan sumber-sumber maritim yang lain.

Peluang-peluang bemanafaat akan terbuka luas termasuk pelaburan, perniagaan dan pekerjaan, terutama yang memerlukan kepakaran.

Dari sudut tenaga, Negara Brunei Darussalam patutlah bersyukur kerana menjadi pengeluar minyak dan gas.

Namun begitu, kita tidaklah lalai dari memberikan perhatian, agar sumber tenaga itu digunakan secara efisen, sambil mengelak pembaziran.

Beta berpendapat, masanya juga sudah tiba untuk agensi-agensi Kerajaan menggubal dasar dan mengemukakan langkah-langkah bagi mencapai matlamat penggunaan tenaga secara efisen dan mengelakkan pembaziran.

Misalnya, pada setiap tahun agensi­agensi Kerajaan menggunakan kuasa elektrik sehingga $68 juta setahun.

Kalau pembaziran 10 peratus dapat dielakkan, bererti kita boleh menjimatkan sehingga $6.8 juta setahun.

Pendekatan negara-negara tertentu seperti Jepun, selaku pengguna tenaga yang sangat efisen, amatlah elok ditauladani.

Satu lagi isu ekonomi yang lumrah ialah pengangguran.

Beta sungguh menghargai sumbangan syarikat-syarikat swasta yang turut memenuhi tanggungjawab mewujudkan peluang­peluang pekerjaan di negara ini.

Beta difahamkan, proses untuk mengisi jawatan di sektor Kerajaan pada tahun lepas telah mengambil masa diantara enam ke lapan bulan, sehingga menyebabkan kekosongan jawatan-jawatan baru dan persaraan meningkat kepada lima ribu jawatan.

Pada hemat Beta, jika proses ini dapat dipendekkan, maka jumlah itu dengan sendirinya akan berkurangan, serta pemohon-pemohon tidaklah perlu menunggu begitu lama.

Mengenai kebajikan untuk tenaga manusia dalam perkhidmatan, Kerajaan Beta tidaklah memandang ringan terhadap hari-hari persaraan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Maka untuk itu, sukacita diumumkan, bahawa Kerajaan Beta akan memperkenalkan satu skim persaraan tambahan yang digelar "Skim Persaraan Caruman Tambahan" atau Supplemental Contributory Pension (SCP).

Skim ini dihasratkan sebagai tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang ada sekarang.

Dengan Skim ini, insya Allah, para pesara yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, akan menerima pendapatan tetap minimum bulanan
(annuity) sesudah mereka mencapai umur persaraan mandatori kelak.

Skim (SCP) ini juga dilengkapkan dengan perlindungan 'survivorship' bagi menjamin tanggungan peserta, sekiranya mereka meninggal dunia sebelum persaraan mandatori.

Seperti Skim TAP, Skim SCP ini juga akan meliputi untuk semua Rakyat dan Penduduk Tetap yang bekerja di sektor awam dan swasta.

Malah juga akan dilaratkan kepada sektor informal. Setiap peserta dan majikan, mereka masing-masing akan dimestikan secara undang-undang untuk membuat caruman bulanan yang ditentukan, dan sebahagian caruman pula akan digunakan sebagai bayaran sumbangan perlindungan, survivorship.

Bagaimanapun, untuk tidak membebankan pihak majikan, terutama syarikat-syarikat perniagaan, perkiraan jumlah caruman yang ditanggung oleh mereka, akan dihadkan kepada jumlah yang berpatutan.

Bagi peserta Skim TAP yang tidak sempat membuat caruman yang mencukupi sebelum bersara mandatori, juga akan menerima manfaat daripada Skim SCP ini.

Untuk itu, Beta telahpun memperkenankan supaya Kerajaan memberikan bantuan tambahan kepada kumpulan ini dalam bentuk 'catch-up' atau caruman secara kebelakangan yang ditetapkan.

Insya Allah, Skim ini akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2010.

Satu akta akan digubal bagi maksud pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Beta juga sukacita mengambil peluang mengisytiharkan bahawa mulai 1 Januari 2010, umur persaraan mandatori bagi Rakyat dan Penduduk Tetap negara ini, yang
menyertai Skim TAP dan SCP ialah genap 60 tahun.

Beralih kepada arena antarabangsa, kita akan terus menerus mengeratkan hubungan dua hala dan kerjasama dengan negara-negara luar.

Keahlian Negara Brunei Darussalam dalam pertubuhan­pertubuhan serantau dan antarabangsa, merupakan usaha sama kita dalam mendukung komitmen-komitmen antarabangsa.

Kita juga memainkan peranan membina dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa, seperti penyertaan kita dalam misi-misi pengaman di Selatan Filipina, Lubnan dan Aceh, dan juga menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang dilanda malapetaka bencana-bencana alam.

Selaras dengan kemampuan negara, penyertaan melalui misi-misi seperti ini akan sentiasa dipertimbangkan dari masa kesemasa.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, meliputi warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan dan mereka yang berkhidmat di sektor swasta, atas sokongan dan sumbangan serta khidmat bakti mereka kepada Kerajaan Beta.

Begitu juga Beta tidak lupa merakamkan ucapan yang sama kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Sambutan, sama ada diperingkat daerah atau kebangsaan, atas usaha mereka yang gigih pada menjayakan sambutan Hari Ulang Tahun Beta ke-63 tahun ini.

Semoga Allah jua yang akan membalas dengan limpah rahmat-Nya kepada mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Wal-hidayah, Wassalamu ' Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island