Mengimbas Kembali Sejarah Lama Makam Di Luba

Hingga kini, ramai yang belum mengetahui tentang Istana Lama Bandong Kayangan yang mana pernah digunakan oleh raja-raja dahulu untuk bersemayam namun sekarang hanya tinggal kenangan.

Antara gambar kaum keluarga purih Hulu Kampong Tamoi yang banyak menyimpan cerita-cerita sejarah lama yang diturunkan turun temurun daripada nenek moyang mereka yang terdahulu.

Makam Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin yang terletak di atas bukit makam di Luba.

Mengimbas kembali sejarah lama Makam di Luba
February 4, 2017

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

SETENTUNYA setiap kali kita cuba mengingat kembali cerita-cerita sejarah lama, kita akan merentas jalan dan menemui beberapa individu untuk mengetahui setiap cerita yang mereka ceritakan terutama warga emas malahan penduduk asal di satu kawasan itu.

Baru-baru ini, penulis telah mengumpul beberapa cerita sejarah lama dari dua orang penduduk asal purih Kampong Ulu, Tamoi, Allahyarham Haji Lakim bin Bakar dan Allahyarham Haji Lamit bin Matasan. Ketika masih lagi hidup, Allahyarham Haji Lakim berusia 85 tahun dan Allahyarham Haji Lamit pula berusia 84 tahun.

Kebanyakan cerita-cerita sejarah yang diceritakan kepada mereka merupakan cerita turun- temurun yang telah diceritakan oleh datuk dan nenek mereka sejak tahun 1910 Masihi lagi.

Cerita dari ibu bapa

Berdasarkan daripada cerita dua informan tersebut, mere-ka sudah didedahkan dengan cerita-cerita sejarah sejak tahun 1930an lagi sebagaimana yang telah dipaparkan di dalam gambar yang disediakan. Di dalam potret tersebut mengumpulkan hampir keseluruhan keluarga informan yang duduk berbaris di bahagian depan manakala mereka yang lebih dewasa, ayah dan nenek mereka berdiri di bahagian belakang.

Makam di Luba

Pada zaman dahulu di kawasan hulu Sungai Brunei terdapat sebuah kawasan tanah perkuburan lama dan dikenali sebagai Makam di Luba. Menurut sejarah ketika itu, Brunei diperintah oleh Al-Marhum Sultan Husin Kamaludin iaitu Sultan Brunei yang ke-16 dan telah memerintah negara Brunei Darussalam selama 20 tahun iaitu dari tahun 1710 sehinggalah 1730. Berdasarkan cerita yang dikongsi oleh kedua-dua informan, pada zaman itu, hulu Sungai Brunei mempunyai beberapa buah kampung dan di antara kampung-kampung tersebut ialah seperti Kampong Lumadan, Kampong Telanai, Kampong Sungai Damuan, Kampong Sungai Tamiang dan Kampong Sungai Ketam.

Menurut informan, Sultan Husin Kamaluddin gemar mencari dan menangkap ikan-ikan di tebing Sungai Hulu Brunei bersama-sama dengan orang-orang kampung terutama di kawasan pesisiran hulu sungai menuju makam di Luba. Baginda sering membawa sejenis kayu dan dinamakan sebagai kayu tuba kemudian batang kayu itu di ‘pupuh-pupuh’ dan disimpan di dalam sebuah tin.

Setelah itu, Baginda pun naik ke perahu besar dan menelusuri Sungai Brunei bersama-sama dengan penduduk-penduduk Kampung. Setelah berada di kawasan yang terpilih, air yang mengandungi air tuba di buang ke sungai terutama di kawasan anak-anak sungai kiri dan kanan menuju ke kawasan Kampong Luba.

Menunggu sehingga ikan timbul

Setelah kira-kira hampir setengah jam, ikan-ikan yang sudah terkena dengan air tuba akan timbul dan dalam keadaan lemah. Menurut informan, ketika itu, para penduduk akan bersorak gembira dan senang hati kerana dapat membawa ikan pulang untuk di makan bersama-sama dengan keluarga tercinta. Menurut informan lagi, kebanyakan ikan-ikan yang diperolehi dan ditangkap berdasarkan air tuba itu sebenarnya tidak meracunkan dan tidak memudaratkan diri malah apabila dimakan ia tidak akan memabukkan. Begitulah kehidupan masyarakat dulu ketika berada di bawah pemerintahan Sultan Hussin Kamaluddin.

Hidup aman makmur dan bahagia

Berdasarkan cerita yang telah diceritakan kepada informan, ketika zaman pemerintahan Sultan Hussin Kamaluddin, rakyat hidup dalam keadaan bahagia dan makmur malah Baginda terkenal sebagai Al-Marhum di Luba sehingga ke hari ini. Malah nostalgia ini masih diingat dan disebut-sebut dan diingati sehingga ke zaman ini disebabkan kegiatan harian yang dilakukan oleh Sultan Hussin Kamaluddin di kawasan itu. Masyarakat dan warga emas yang masih ada ketika ini sentiasa berdoa semoga roh-roh Baginda dan penduduk-penduduk yang lain di cucuri rahmat oleh Allah Ta’ala jua.

Ihsan Media Permata

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Bruneian in Atomic Bomb Hiroshima

Kuih Mor - A Brunei Favourite