Kad Hari Raya lama masih dalam kenangan


Kad Hari Raya yang direka dengan lukisan tangan.

Jenis kad Hari Raya yang dikirimkan kepada kawan-kawan dan saudara-mara pada tahun 1962.

Hiasan lukisan seperti masjid mengisi ruangan kad Hari Raya pada tahun 1966.

Gambar bersama rakan yang berlatar belakangkan suasana lukisan kampung pedalaman pada tahun 1967.

Hasil lukisan salah seorang pemuda pada kad Hari Raya beliau pada tahun 1969.

Kad Hari Raya lama masih dalam kenangan
June 15, 2017

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

PENULIS masih lagi ingat apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri, anak-anak muda mulai sibuk membuat persediaan dan mencari ilham untuk melukis kad-kad ucapan Hari Raya mereka.

Mereka akan membeli barang-barangan seperti kertas lukisan, pensel dan pemadam getah di mana barang-barang keperluan tersebut dibeli dengan harga yang sangat murah. Pada masa itu, kad-kad Hari Raya yang bercetak belum lagi terjual di kedai-kedai buku.

Ilham melukis kad Hari Raya sudah ada dalam bayangan para belia atau penuntut sekolah ketika itu. Mereka akan membeli buku-buku majalah seperti Mastika Filem dan Arena Filem yang terdapat di kedai-kedai buku. Mereka kemudian mengambil gambar-gambar pemandangan dan wajah-wajah bintang filem yang terdapat di dalam majalah tersebut.

Lukisan pemandangan tidak akan lari dari tema seperti masjid-masjid, bulan, bintang dan bunga-bungaan. Sesudah ianya siap, para pengirim akan menulis kata-kata indah di dalam kad itu, digabungkan dengan gambar wajah si pengirim dan juga bintang-bintang filem mereka. Kertas lukisan itu kemudiannya akan dibawa ke kedai gambar untuk mencetak gambar-gambar yang telah dirakamkan.

Saiz gambar pada ketika itu adalah berukuran 3R berwarna hitam putih. Harga 12 keping gambar Hari Raya yang dicetak pada ketika itu hanya $3.50. Ianya sangat murah jika dibandingkan dengan harga gambar pada masa ini. Selepas itu, barulah si pengirim menghantarnya ke pejabat pos dengan menggunakan sampul surat dengan melekatkan setem berharga 12 sen. Kad-kad Hari Raya itu akan dikirimkan kepada kawan-kawan, teman-teman sekolah – sudah dicatit nama dan alamat mereka sebelum cuti sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula.

Kedatangan posmen amat dinanti-nantikan oleh anak-anak muda pada ketika itu. Mereka akan menunggu di luar beranda rumah ketua kampung (mereka yang berada di Kampong Ayer). Apabila posmen datang dengan menggunakan perahu khas berwarna merah, para belia itu merasa tidak sabar dan gembira sebaik sahaja posmen membawa naik bungkusan berisi kad-kad Hari Raya ke rumah. Para pemuda itu akan merasa lebih gembira apabila menerima kad-kad Hari Raya daripada rakan-rakan mereka. Masing-masing pulang ke rumah dengan hati yang senang dan membuka kad tersebut dengan reaksi wajah yang tersenyum manis. Kegembiraan itu tidak dapat dibayangkan lagi.

Apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri, kad-kad tersebut kemudiannya digantung di ruangan bilik tamu rumah. Ruangan tepi-tepi dinding diletakkan dengan kad Hari Raya yang cantik dan teratur, ditambah dengan hiasan bunga kertas yang berwarna-warni dan bermacam-macam bentuknya. Kegembiraan jelas terpancar pada ketika itu. Sambutan Hari Raya pada tahun 1960-an sehingga 1980-an sangat meriah sehingga ianya tidak dapat dilupakan dalam ingatan. Kenangan dan ingatan penulis masih segar apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri pada ketika itu walaupun ianya sudah jauh berlalu.

Ihsan Media Permata

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Kuih Mor - A Brunei Favourite

HM Sultan Brunei: Education for Develoment