Kenangan Raya Pada Zaman Dahulu

Kenangan lama suami, isteri dan anak-anak pada tahun 1960 di Hari Raya pertama.

Orang ramai mengambil kenangan bersama keluarga dengan bergambar ramai di kedai-kedai gambar pada tahun 1930-an semasa Hari Raya Aidilfitri.

Kenangan Hari Raya pada zaman dahulu
June 26, 2017

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

SAMBUTAN Hari Raya sudah dapat kita rasakan. Kenangan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada zaman dahulu tidak dapat dilupakan oleh penulis walaupun masa dan zaman sudah jauh berlalu. Ia masih terbayang dalam pemikiran penulis. Pada masa dahulu sambutan Hari Raya sangat meriah di mana golongan kanak-kanak dan para remaja memakai pakaian serba baru tambahan lagi harga pakaian pada masa itu sangat murah.

Dalam ruangan bilik tamu rumah, kelihatan kerusi meja teratur dengan kemas, pintu dan jendela dihiasi dengan langsir, lantai dihiasi dengan tikar getah dan siling ruangan dihiasi dengan bunga-bungaan kertas. Anak-anak remaja pada ketika itu kelihatan riang gembira dengan gelak ketawa, bergurau senda bersama rakan-rakan mereka. Alat-alat hiburan seperti radio pada ketika itu belum ada dimiliki. Ianya memang berbeza jika dibandingkan pada zaman ini.

Bagi masyarakat Kampong Ayer pada ketika dahulu, pengumuman Hari Raya dikhabarkan melalui ketua kampung masing-masing kepada anak-anak buahnya. Setelah dimaklumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit kelihatan, maka kedengaran suara sorakan dan tepuk tangan riang gembira daripada penduduk setempat. Pada malam Hari Raya itu (selepas sahaja dimaklumkan), beberapa buah kampung di sana melaungkan takbir Hari Raya di balai-balai ibadat dan rumah-rumah, sebelum Masjid Omar ‘Ali Saifuddien siap dibina.

Pada malam Hari Raya pertama pula, ramai daripada ibu bapa dan saudara mara membawa anak-anak mereka menonton wayang di panggung-panggung wayang dengan menyaksikan filem-filem melayu. Hanya dua buah panggung wayang yang terdapat di Bandar Brunei ketika itu iaitu Panggung Bolkiah dan Panggung Boonpang Lama. Antara filem-filem melayu yang disaksikan adalah ‘Selindang Delima’ dan ‘Roh Mambela’. Ramai juga para ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk bergambar ramai bersama keluarga di kedai-kedai gambar berdekatan bagi memotret kenangan bersama. Antara kedai gambar yang ada di Bandar Brunei pada masa itu ialah Kong Hwa Foto Studio dan Guan Chuan Foto Studio.

Lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri meriah berkumandang di sana sini melalui peti menyanyi ketika itu seperti lagu ‘Selamat Hari Raya’ nyanyian biduanita Saloma, ‘Manusia miskin kaya’ nyanyian Nona Asiah, ‘Di Hari Raya’ nyanyian P.Ramlee dan lain-lain lagi. Juga didendangkan lagu-lagu raya daripada bintang Indonesia, S.Affandy.

Ihsan Media Permata

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Kuih Mor - A Brunei Favourite

HM Sultan Brunei: Education for Develoment