Realisasikan Budaya Membaca di Brunei
Haji Mohd Rozan, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Tetamu Kehormat Pertandingan Akhir Forum Memperkasa Budaya Membaca 2013 di Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka |
"Jika tidak diketengahkan dalam sistem pendidikan dan diskusi arus perdana seharian, orang ramai akan lebih mengenali artis dan pemain sukan saja".
Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Haji Mohd Rozan Dato Paduka Haji Mohd Yunos semasa menyampaikan ucapan perasmian Peraduan Forum Memperkasa Budaya Membaca Peringkat Akhir sempena Memperkasa Budaya Membaca tahun 2013 hari ini, Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Beliau menambah kurangnya tabiat membaca dalam kalangan rakyat Brunei adalah membimbangkan di mana golongan muda lebih suka dengan hiburan berasaskan digital.
"Mereka tidak mahu berseronok dengan membaca dan ini membimbangkan jika trend tersebut berterusan dan banyak generasi akan datang berpaksikan maklumat picisan dari Whatsapp, Facebook dan Twitter.
"Ugama Islam meletakkan ilmu sebagai asas bagi pembangunan diri manusia," tekannya.
Membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan dan ia merupakan dasar utama yang di tuntut Islam bagi membangunkan diri insan.
Bukan setakat itu, jelas beliau lagi, amalan membaca merupakan proses memperkayakan maklumat, memantapkan fikiran dan mendewasakan tindakan di samping ia memberi pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian seperti penjanaan idea, kemahiran berfikir dan berkomunikasi.
"Perlunya sentiasa menyuburkan budaya membaca di semua peringkat tanpa perlu menuding jari ke arah pihak lain di mana kita perlu menjadi contoh dalam merealisasikan budaya membaca dalam masyarakat," tambahnya.
Sikap membaca merupakan anak kunci yang boleh membuka semua gedung ilmu pengetahuan besar lagi indah yang mana di dalamnya tersembunyi pelbagai khazanah untuk manusia.
Ke arah ini, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan satu-satunya institusi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam usaha memupuk dan menggalakkan budaya suka dan gemar membaca dalam kalangan segenap golongan masyarakat di negara ini.
Menurut beliau lagi, beberapa kemudahan yang disediakan seperti sembilan buah perpustakaan cawangan dan komuniti, ditambah dengan perkhidmatan perpustakaan bergerak, sudut bacaan dan sedikit masa lagi Projek Mukim Buku, DBP telah menerajui usaha kerajaan untuk menanam budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, pelbagai acara dan kegiatan diungkayahkan oleh DBP yang menjurus ke arah meningkatkan budaya membaca.
"Kemudahan dan kegiatan yang diadakan bukannya cukup bagi DBP untuk meningkatkan budaya membaca ini tapi pelbagai cara harus di terokai dalam menarik minat masyarakat dalam memperkasa budaya membaca di negara ini."
Dalam perkara, beliau menyeru semua pihak untuk sama-sama menunjukkan kepada generasi muda yang kita juga gemarkan membaca dan membaca tidak kira di mana saja.
-- Ikhsan dari Media Permata --
Comments