Legislative Council Session 2012 Day 1

His Majesty stated the following titah during the Opening Session of the Legislative Council yesterday on 1st March 2012:

+++++

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengizinkan Majlis Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kelapan Majlis Mesyuarat Negara berlangsung pada hari ini.

Beta terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli di atas perlantikan semula dan perlantikan baru Majlis Mesyuarat Negara.

Beta juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada bekas Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di atas sumbangan mereka di dalam persidangan-persidangan majlis yang lalu.

Harapan kita terhadap Majlis Mesyuarat Negara adalah sangat tinggi. Persidangan majlis ini adalah merupakan wadah strategik yang berperanan untuk memikir, membahas serta membuat sokongan-sokongan yang terbaik bagi faedah pembangunan negara supaya kekal menjadi “Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.”

Sebab itu Beta sangatlah berharap supaya semua Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh jujur, ikhlas lagi amanah. Dalam makna apajua usul yang dibawa di dalam Persidangan ini perlulah berasaskan pemikiran dan penelitian yang rapi dengan didukung oleh fakta-fakta betul dan tepat. Di samping itu perbincangan juga biarlah fokus kepada isu-isu yang relevan bagi pembangunan negara.

Pada tahun lepas, di sebalik keadaan ekonomi global yang tidak menentu, Alhamdullilah, negara masih sahaja mampu untuk mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan. Ini adalah berkat kerjasama dan usaha yang padu di kalangan agensi-agensi yang melaksanakan projek dan program kerajaan sebagaimana yang dirancang.

Pada tahun ini, sebagai langkah menaik taraf kesejahteraan rakyat dan penduduk, tumpuan patutlah diberikan kepada lebih meningkatkan lagi tahap dan kualiti pendidikan serta pembinaan keupayaan insan termasuk perkembangan belia-belia dengan pelbagai program yang dirancang serta sistem pendidikan yang terus diperkukuh, insya-Allah hasrat negara untuk melahirkan belia-belia yang berilmu, beriman dan berwawasan akan lebih mudah dicapai.

Namun begitu, kita juga tidak wajar terlepas pandang dengan melupakan peranan institusi keluarga melalui keluarga yang bahagia lagi sempurna. Tidak diragukan lagi adalah mampu untuk mengatasi pelbagai bagai isu sosial dengan lebih berkesan.

Oleh itu, agensi-agensi kerajaan terutamanya yang bertanggung- jawab menangani isu-isu sosial dan kesejahteraan perlulah menumpukan usaha mereka bagi merangka dasar-dasar dan perancangan pengukuhan institusi keluarga itu dan dalam hubungan ini peranan institusi mukim dan kampung yang diterajui oleh Penghulu dan Ketua Kampung juga adalah berkaitan.

Beta amat tidak selesa, kadang-kadang terdengar ada Penghulu atau Ketua Kampung yang mengabaikan anak buah. Mereka itu aktif dan suka kepada kerja-kerja lain tetapi kurang aktif atau tidak suka untuk mengambil tahu dan mendengarkan kesulitan-kesulitan anak buah.

Ini jika benar berlaku ianya adalah amat dikesali. Di samping itu, usaha-usaha juga perlu ditingkatkan untuk menjadikan warga kerja negara ini lebih maju dan produktif. Setiap warga dan penduduk perlulah merebut peluang-peluang yang ada disediakan oleh kerajaan. Mereka perlu memperkaya diri terutama di bidang-bidang pengetahuan dan kemahiran. Melalui pelbagai bentuk kemudahan, program dan bantuan yang ditawarkan, Beta tidak nampak mereka itu perlu tercicir dari arus pembangunan negara.

Menyebut lagi keadaan ekonomi semasa, sejak beberapa tahun kebelakangan pelbagai cabaran muncul di sana sini yang mengancam kestabilan ekonomi global. Malah sampai sekarang pakar-pakar masih sukar untuk mencapai kesepakatan bilakah kemelut ekonomi ini akan berakhir. Hikmah dari kemelut ini, kita mendapat iktibar yang berguna iaitu salah satu punca utama krisis ekonomi ialah hutang.

Orang biasanya menganggap sama ada di peringkat individu, korporat atau negara untuk menutupi sebarang keperluan kewangan adalah dengan jalan berhutang. Tetapi orang kurang ingat bahawa hutang adalah bebanan sama ada disedari atau tidak apabila pinjaman mencapai tahap yang tinggi atau di luar kemampuan untuk mengawalnya, maka pada ketika itu hutang adalah satu petaka besar.

Di sini Alhamdullilah, kerajaan Beta dengan limpah kurnia Allah jua masih sahaja mampu untuk terus membiayai keperluan perbelanjaan tanpa berhutang. Namun ini bukanlah bermakna kita tidak perlu untuk menjalani kehidupan yang penuh berhemah.

Lebih-lebih lagi kita juga menyedari bahawa struktur ekonomi negara perlu terus kukuh dan meluas agar sektor bukan minyak dan gas dapat sama-sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara signifikan.

Kita juga tidak lalai dengan menggalakkan perkembangan sektor swasta melalui komitmen agensi-agensi kerajaan dalam memperbaiki iklim perniagaan di negara ini. Kerajaan adalah mengutamakan dasar-dasar dan prosedur mesra pelanggan atau customer-centric.

Akhirnya Beta mengharapkan supaya Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan dapat bersidang secara objektif dalam merangka isu-isu pembangunan rakyat dan penduduk negara ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island