Tapak Istana Lama Kampung Pengiran Bendahara Lama

Bekas tapak Istana Sultan Abdul Momin

Makam Al-Marhum Sultan Abdul Momin yang terletak di Kubah Makam Diraja.

Kesan pecahan tembok batu Istana Sultan Abdul Momin yang berada di kawasan Kampung Pengiran Bendahara Lama.

Pecahan batu-batu yang sudah susur akibat hakisan pukulan ombak daripada perahu-perahu yang melintasi perairan Sungai Kedayan pada masa dahulu hinggalah sekarang.

Tapak Istana Lama Kampung Pengiran Bendahara Lama

January 7, 2017

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

MENGIMBAS kembali cerita bekas tapak sejarah Istana Lama, penulis pernah menemui Allahyarham Pengiran Jaya Perkasa Pengiran Anak Haji Metassan bin Pengiran Sabtu Kamaluddin (sebelum Allahyarham meninggal dunia) di rumah kediamannya di Kampung Tumasek pada tahun 1988. Allahyarham sebelum itu menetap di Kampung Pengiran Bendahara Lama, Kampong Ayer.

Menurut cerita Allahyarham yang bersumberkan daripada cerita orang-orang tua terdahulu bahawa tapak Istana Lama Sultan Abdul Momin, Sultan Brunei ke-24 yang telah memerintah Brunei dari tahun 1852 hingga 1885, adalah berdekatan dengan perairan Kampung Pengiran Bendahara Lama. Kawasan sekitarnya dikelilingi dengan batu sebagai benteng kota bagi menahan tanah agar tidak rontok atau batu-batu pendinding tidak jatuh pada zaman itu.

Tambah Allahyarham lagi bersama penulis ketika itu bahawa berkemungkinan tapak Masjid Lama didirikan di Kampung Ayer ketika itu adalah kerana Al-Marhum Sultan Abdul Momin sering mengerjakan amal ibadah dan seorang yang taat dalam mengerjakan perintah agama Islam. Pada zaman itu, Baginda suka memakai baju talok belanga berwarna putih, berkain putih dan bersongkok haji serta sentiasa memegang tasbih di sebelah tangan kanan Baginda.

Pada zaman riwayat Sultan Abdul Momin, Baginda tidak mempunyai zuriat namun patuh dengan ajaran ugama Islam dan tidak meninggalkan sembahyang Lima waktu.Baginda mangkat pada tahun 1885 dalam usia Baginda lebih 100 tahun dan telah dimakamkan di Kubah Makam Diraja.

Setelah Baginda mangkat, pendatang dari negara Arab yang dikenali sebagai Sheikh Ibrahim telah datang ke Brunei. Sejak dari itu kawasan Kampong Pengiran Bendahara Lama menjadi masyhur dengan ajaran seorang alim ulama bagi mengukuhkan lagi ajaran ugama Islam, dimana ceritanya masih segar dalam ingatan penulis.

Namun sayangnya, tapak istana bersejarah itu kini tidak lagi kelihatan kesan sejarahnya kerana tembok batu dan lereng-lereng kawasan bekas Istana Sultan Abdul Momin itu semakin susur dan terhakis oleh perahu-perahu besar dan kecil yang melintasi laluan ke ulu Sungai Gadong, yang mungkin pada satu masa tapak bersejarah itu akan pupus di telan zaman.

Kesemua cerita-cerita bersejarah ini adalah berdasarkan dari salah seorang yang sangat pakar mengenai sejarah-sejarah lama, bahkan Allahyarham Pengiran Jaya Perkasa Pengiran Anak Haji Metassan juga banyak menyimpan gambar-gambar lama sewaktu zaman remaja beliau bersama dengan abang dan adik-beradiknya, sebelum naik atau berpindah ke Kampung Tumasek pada thaun 1960an dari Kampong Pengiran Bendahara Lama. Al-Fatihah, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat…Amin Ya Rabbal A’lamin…

Ihsan Media Permata

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island