Warkah Kesultanan Brunei Yang Tertua
Nama-nama perwakilan rombongan dari Brunei yang membawa warkah tersebut kepada Kapten Inggeris di Jambi untuk Pengiran Dipati Anum. |
Tulisan jawi yang terdapat dalam warkah Raja Bendahara Permaisuara yang bermaksud ‘Negeri Bruni dan Negeri Jambi’ |
Warkah Kesultanan Brunei yang tertua
December 11, 2017
Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong,
Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Negara Brunei Darussalam
SELARAS dengan Wawasan Brunei 2035 dalam usaha untuk mengukuhkan pengamalan dan juga penghayatan nilai-nilai keBruneian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, penulis telah menerima undangan untuk membentang satu kertas kerja dalam Seminar Manuskrip-Manuskrip Borneo yang bertemakan Melestari Warisan Bangsa.
Seminar yang memfokuskan perbincangan mengenai manuskrip-manuskrip lama Borneo telah diungkayah oleh Pusat Sejarah, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Ianya melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara di mana sebanyak 53 kertas kerja telah diketengahkan khususnya 37 pembentangan dari negara dan wilayah di Kepulauan Borneo, Indonesia dan Malaysia yang berlangsung selama dua hari pada 27 hingga 28 November 2017 yang lalu.
Kepentingan pengkajian dan penyelidikan mengenai warisan bangsa terutama dalam bentuk manuskrip lama telah dinyatakan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, yang telah merasmikan seminar tersebut di Pusat Sejarah Brunei, Bandar Seri Begawan.
Perkara ini juga telah disentuh oleh Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman yang telah menyampaikan kertas ucaptama bertajuk Melestari Warisan Bangsa. Beliau menjelaskan bahawa manuskrip-manuskrip lama amat berharga dan bernilai sebagai sumber ilmu pengetahuan yang meliputi bidang persejarahan negara, pendidikan, perubatan, pertanian, agama, Al-Quran, ekonomi dan sebagainya.
Dalam kesempatan ini penulis telah berkongsi ilmu pengetahuan tentang manuskrip lama yang berkaitan dengan Negara Brunei Darussalam dengan membentangkan kertas kerja bertajuk Warkah Kesultanan Brunei. Penulis memang bersetuju dengan tanggapan pembentang kertas ucaptama seminar bahawa manuskrip lama memang amat berharga bukan sahaja dari segi nilai kewangan bahkan dari sejarahnya.
Ia amat penting dibuat kajian kerana semakin lama usia sesebuah manuskrip itu semakin tinggi harganya jika ia mengandungi ciri-ciri yang diperlukan oleh para pengkaji manuskrip seperti tahun ia mula ditulis atau disempurnakan penulisan dan sebagainya. Penulis telah mengetengahkan manuskrip-manuskrip mengenai kesultanan Brunei yang berusia antara 100 ke 400 tahun yang salinan asalnya masih tersimpan di institusi-institusi di luar negara khususnya di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Dalam kertas kerja penulis ada tiga warkah penting yang telah diketengahkan untuk menjadi rujukan dan perhatian umumnya khususnya yang berminat dalam pengkajian manuskrip lama. Salinan manukrip yang dimaksudkan adalah berkaitan kesultanan Brunei yang mana ada antaranya masih tersimpan di institusi di luar negara dan sudah didigitalisasikan untuk kepentingan penyelidikan akademik.
Pertama ialah Warkah Sultan Brunei yang ditujukan kepada Pengiran Dipati Anum (Sultan Jambi) melalui Kapten Inggeris di Jambi, Kedua Warkah Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddim yang ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat dan ketiga Surat Perjanjian Wakaf Sultan Muhammad Tajuddin.
Menyentuh mengenai mansukrip pertama, penulis berpendapat bahawa warkah ini adalah dikirim daripada sultan Brunei yang telah disembahkan oleh tiga orang Pembesar Diraja yang bergelar Seri Laila Diraja, Seri Setia Pahlawan dan Seri Raja Khatib melalui satu rombongan armada dari Brunei. Ketiga-tiga utusan ini menggambarkan akan peranan dan tugas perwakilan tersebut dalam bidang pentadbiran negara, ketenteraan dan keagamaan.
Memandangkan senario persejarahan Brunei ketika itu mempunyai persamaan dengan isi cerita kandungan surat yang disembahkan itu, maka adalah tidak diragukan bahawa warkah ini adalah surat dari Sultan Muhyiddin ibni Sultan Jalilul Akbar yang juga dikenali sebagai Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Raja Bongsu Muhyiuddin yang mana bertepatan dengan nama yang disebut dalam warkah yang disebutkan iaitu Raja Bendahara Seri Permaisuara.
Penyebutan nama Raja Bendahara Seri Permaisuara dalam warkah tersebut telah mengukuhkan lagi kenyataan penulis bahawa peristiwa ini berlaku dalam era Perang Saudara di Brunei akibat dari tragedi bersabung ayam seperti yang disebut dalam buku Mahkota Berdarah karangan Yura Halim.
Lanjutan daripada peristiwa ini, Pengiran Hakkul Mubin telah mengisytiharkan diri menjadi Sultan Brunei ke-13 mengganti Sultan Muhammad Ali Tumbang Di Rumput, manakala Pengiran Bendahara Muhyiddin menuntut bela atas kematian bapa mentuanya lalu mengisytiharkan diri menjadi Sultan dan mengakibatkan berlakunya Perang Saudara selama kira-kira 12 tahun. Maka adalah tepat nama Raja Bendahara Seri Permaisuara yang terkandung dalam warkah yang dikirimkan itu merujuk kepada Sultan Muhyiuddin sebagai Bendahara dan juga Sultan Brunei yang ke-14.
Di samping itu, isi kandungan persuratan tersebut juga berkaitan dengan keadaan politik Brunei ketika itu sebagai dinyatakan dalam warkah tersebut bahawa rombongan dari pihak Brunei mahu membeli barang keperluan untuk kegunaan peperangan iaitu serbuk bagi membuat ubat bedil atau meriam dan juga kain gabar serta selimut.
Selain itu, ejaan yang digunakan bagi perkataan membeli dalam tulisan jawi adalah mabali iaitu penyebutan membeli bagi masyarakat Brunei. Begitu juga bagi perkataan bagi nama Brunei dieja b-r-n-y. Menurut Datuk Dr. Annabell Gallop bahawa W.G. Shellabear dalam artikelnya yang bertajuk Suatu Akaun dari Beberapa MSS Melayu Tertua Kini Masih Ada, (1898) teragak-agak untuk membaca toponimi dieja b-r-n-y sebagai Brunei. Ini memandangkan dari segi faktor geografi kedudukan Brunei adalah begitu jauh dengan Negeri Jambi.
Oleh itu, beliau (Shellabear) berpendapat mungkin b-r-n-y merujuk kepada ‘kerajaan jiran Birni’. Bagaimanapun, sepertimana yang dicadangkan oleh Amin Sweeney (1971), penulis berpendapat tidak ada alasan untuk meragui bahawa surat ini berasal dari Brunei. Kenyataannya tidak ada negeri di sebelah Sumatera ataupun Pulau Jawa yang bernama ‘Birni’ melainkan Brunei di Pulau Borneo.
Oleh itu, surat ini adalah dihantar dari Raja Bendahara Paduka Seri Maharaja Permaisuara di Brunei (Sultan Muhyiuddin) kepada ‘Kapitan Inggeris’, yang menguruskan perdagangan Inggeris di Jambi, untuk disampaikan kepada Sultan Jambi iaitu ‘Pangiran Adipati’ kemungkinan Pangiran Dipati Anum, yang memerintah dari 1630 hingga 1661 manakala Sultan Muhyiddin memerintah antara tahun 1673-1690.
Ini bermakna bahawa rombongan tersebut telah dikirim ke Jambi di saat akhir berlakunya Perang Saudara di Brunei. Dengan pembelian ubat bedil tersebut telah menyebabkan Sultan Muhyiddin telah dapat mengalahkan Sultan Hakkul Mubin di Pulau Chermin.
Sebagaimana kata Datuk Dr. Annabel Gallop bahawa surat ini mungkin ditulis sekitar pertengahan abad ke-17 Masihi iaitu antara tahun 1673 dan 1690. Ini bermakna bahawa warkah ini adalah merupakan manuskrip yang paling awal dan paling tertua yang berkaitan dengan Kesultanan Brunei dan dianggarkan berusia lebih daripada 350 tahun.
Salinan asli warkah ini masih tersimpan di Perpustakaan British di London. Walaupun keadaannya rosak dan koyak, kini dilapisi dengan kain kasa dan mungkin hilang sebahagian daripada lembaran kertas yang mungkin mengandungi meterai, surat itu mungkin sebahagiannya bertarikh dari konteks sejarahnya.
Berdasarkan pertemuan ini, kita dapat memperkukuhkan lagi kewujudan ketamadunan bangsa Brunei melalui pengamalan pemerintahan sistem beraja yang mana memperlihatkan bahawa dari segi Adat Istiadat Diraja Brunei gelaran bagi orang-orang kenamaan telah terbukti sudah wujud melebihi dari 300 tahun yang lalu khususnya jawatan wazir Pengiran Bendahara Permaisuara yang unik bagi Brunei.
Memang tidak dinafikan bahawa gelaran Bendahara terdapat dalam sistem beraja di alam Melayu namun hanya Brunei sahaja yang memakai nama Pengiran Bendahara Permaisuara yang merupakan ketua wazir pada masa dahulu.
Dan uniknya lagi dalam warkah tersebut Baginda Sultan disebut sebagai Raja Bendahara Permaisuara. Ini kemungkinan kerana Baginda adalah memegang jawatan Pengiran Bendahara dalam zaman pemerintahan Sultan Hakkul Mubin dan di samping itu mengistiharkan dirinya sebagai sultan atas sokongan rakyat Brunei.
Alhamdulillah, atas kerjasama dengan Datuk Dr. Annabel Gallop, di London penulis telah dapat mengetengahkan manuskrip ini untuk bahan perbincangan di Seminar Manuskrip Borneo bagi mengukuhkan lagi fakta sejarah bagi membuktikan kewujudan empayar Brunei di masa lalu khususnya peristiwa Perang Saudara di Pulau Chermin.
Semoga keadaan ketidakstabilan politik akibat perebutan kuasa berpunca daripada bersabung ayam ini akan menjadi pengajaran dan panduan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara untuk mendapat keredaan Allah S.W.T. Sesungguhnya sejarah itu tidak pandai berbohong dan ia adalah guru sebagai rujukan dan panduan.
Ihsan dari Media Permata
Comments