Raja dan Ulama DiPisah Tiada (MIB Series)

Kedudukan Islam yang sentiasa terpelihara di mana raja adalah sebagai ketua agama dan ketua negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

Dalam lima dekad pemerintahan KDYMM, kedudukan agama Islam semakin bertambah kukuh sebagai tunggak dalam pemerintahan beraja di bumi Brunei Darussalam.

Raja dan ulama dipisah tiada
October 16, 2017

Oleh Dr. Muhammad Hadi Bin Muhammad Melayong,
Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi, Melayu Islam Beraja

MELAYU Islam dan Beraja adalah tiga entiti mantap yang diamalkan turun temurun dan diabadikan di dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959 pindaan 20014 dan 2008 yang menjamin dan mengekalkan tradisi sistem institusi beraja yang telah berpasak sekian lama di bumi Brunei Darussalam.

Ketiga-ketiga komponen ini saling berkait rapat dan berpisah tiada dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Inilah gambaran sebenar kehidupan yang diwarisi sekian lama di mana syiar Islam dijaga dan dipelihara berdasarkan kepada pemerintahan institusi beraja.

Perkembangan dan kemantapan amalan hidup bersandarkan Islam sebagai cara hidup lengkap lagi sempurna dapat dilakukan dengan wujudnya golongan ulama dan cendekiawan Islam yang sentiasa mendukung pemerintahan beraja dalam mengembangkan dan mengukuhkan syiar dakwah Islam demi kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Kedudukan Islam yang sentiasa terpelihara di mana Raja adalah sebagai ketua agama dan ketua negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

Alhamdulillah, sejak beratus tahun yang lalu para ulama dan pendakwah Islam sentiasa dihormati dan disanjung dalam kehidupan masyarakat Brunei.

Bahkan golongan para ulama mempunyai tempat yang istimewa dan berperanan penting dalam memberi nasihat dan pertunjuk kepada raja dalam hal ehwal pentadbiran negara khususnya mengenai dasar serta polisi yang berkaitan dengan agama Islam demi kesejahteraan ummah.

Berdasarkan catatan sejarah di kalangan Sultan-sultan Brunei, ada di antaranya yang tergolong sebagai ulama dan pendakwah Islam yang terkenal yang sentiasa berjuang bersama rakyat untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Ini terbukti dengan kedatangan Sharif Ali ke Brunei, sebagai seorang ulama dan pendakwah Islam yang terkenal dari Taif yang kemudiannya ditabalkan menjadi Sultan Brunei ketiga.

Ini adalah satu kenyataan sejarah yang tidak dapat dinafikan bahawa peranan raja dan ulama itu adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan bahkan dalam era zaman moden masa kini berdasarkan kepada Perlembagaan Negara di mana raja sebagai ketua negara dan juga ketua Agama Islam adalah satu kesinambungan tradisi Bangsa Brunei.

Maka urutan dan amalan yang berterusan dalam jiwa dan keturunan juritan Sultan-sultan yang memerintah sehingga ke hari ini adalah satu tanggungjawab yang berat yang dipikul oleh seorang raja yang menjadi Ulil-Ambri untuk menjalankan amanah dari Allah Subhanahu wa, Ta’ala.

Jiwa keislaman yang sentiasa subur tertanam di sanubari mereka dengan semangat ketakwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu wa, Ta’ala telah menjamin kedudukan Agama Islam.

Makanya peranan raja dan ulama itu tidak terpisah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di bumi Brunei Darussalam selaras dengan aspirasi negara sebagaimana disebut dalam Al-Quran sebagai negara Baydatun Taybadun Warrabun Ghafuur.

Ini adalah satu keistimewaan dan kebaikan pengamalan pemerintahan sistem beraja di mana kedudukan Agama Islam sentiasa terpelihara dan terjaga berdasarkan kedudukan raja sebagai ketua Agama Islam.

Perkara ini memang satu amalan tidak bertulis sejak pengislaman Awang Alak Betatar yang bergelar Sultan Muhammad Shah yang kemudiannya dikanunkan dalam Perlembagaan Bertulis Negeri Brunei pada tahun 1959.

Para ulama dan cendekiawan Islam sentiasa dihormati dan mempunyai kedudukan yang terhormat dalam masyarakat.

Kedudukan raja dalam kerajaan adalah berperanan sebagai payung kepada rakyat dan memelihara kesucian Agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei Darussalam 1959 pindaan 2004 dan 2008.

Sejak kewujudan pemerintahan yang berpasakkan Melayu Islam Beraja, hampir kesemua 29 Sultan dalam turutan jurai pemerintahan telah berjaya mengukuhkan perpaduan bangsa Brunei yang memartabatkan sistem Beraja dengan berpegang kepada agama Islam sebagai sumber laila kemakmuran dan laila keamanan negara. Ini amat meyakinkan sejarah dengan peninggalan adat tatasusila dalam kehidupan yang beradab dan berbudaya.

Keteguhan dan kekukuhan iman raja-raja yang memerintah dengan disokong oleh para mubaligh dan ulama telah sama-sama berperanan ke arah mempertahankan ajaran-ajaran Islam daripada cuba dihakiskan dari jiwa penganut-penganutnya oleh anasir-anasir dari luar.

Alhamdulillah, sejarah telah memperlihatkan bahawa Sultan-Sultan Brunei sentiasa memelihara dan mempertahankan maruah dan martabat Agama Islam daripada lenyap di bumi Brunei Darussalam.

Ini adalah gambaran keteguhan keimanan raja-raja kita yang sentiasa berani menegakkan kebenaran Islam dengan di dokong oleh para ulama demi kecintaan pada Rasul dan ke hadrat Allah Subhanahu wa, Ta’ala.

Dalam hal ini kita sentiasa menghargai jasa-jasa para ulama Islam yang pernah mengembang dan mengukuhkan syiar Islam dari sejak zaman lampau sehingga ke masa zaman moden.

Dalam zaman awal kedatangan Islam di Brunei khususnya sezaman dengan Sultan Sharif Ali antara ulama-ulama yang tersuhur ialah Syeikh Adam, Syarif Hud, Syeikh Sulaiman bin Abdul Rahman bin Abdullah Nurullah, Imam Yaakub dan Maulana Pengiran Haji Abdul Momin bin Pengiran Sabtu.

Manakala dalam abad ke-19 di antara ulama yang berjasa dalam memperkukuhkan syiar Islam dan mendokong pemerintahan Beraja ialah Dato Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif, Pehin Siraja Khatib Abdul Razak bin Hassanudin, Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah bin Haji Mohd Salleh, Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar bin Rendah dan lain-lain lagi.

Oleh itu, jika kita mengimbau catatan sejarah dalam zaman silam telah diperlihatkan peranan para ulama Brunei yang sentiasa mendokong pemerintahan Rajanya untuk mengujudkan satu ummah Islam yang hidup rukun dalam dan sejahtera.

Manakala dalam era pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien seorang tokoh ulama yang tak asing lagi ialah Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz.

Beliau adalah lulusan Universiti Al-Azhar dan Universiti al-Kaherah, Mesir dan berasal dari Johor, Malaysia. Beliau mula berkhidmat dengan Kerajaan Brunei atas usaha dan kehendak Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien untuk sama-sama menegakkan dan mengukuhkan syiar Agama Islam.

Sebagai seorang tokoh ulama tempatan beliau aktif menulis menerusi buku-buku, risalah, makalah, ucapan-ucapan pidato dan sebagainya.

Sepanjang berkhidmat sebagai Mufti, beliau telah mengeluarkan lebih 1559 fatwa dari tahun 1387 hingga 1412H bersamaan 1967 hingga 1992.

Ulama’ yang berjasa besar ini telah kembali ke rahmatullah pada 10 Syaaban 1413H bersamaan 3 Februari 1993M dalam usia 82 tahun.

Dan dalam era globalisasi masa kini golongan para ulama dan para cendekiawan Islam serta semua lapisan kakitangan kerajaan yang berperanan dalam bidang keagamaan memang mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat untuk dilaksanakan demi membantu dan mendukung raja dalam menegakkan syiar Agama Islam.

Ini selaras dengan ajaran Islam sebagaimana dalam ayat 59 surah Al-Nisaa yang menyuruh umat Islam supaya mentaati Allah Subhanahu wa, Ta’ala dan rasulnya, Nabi Muhammad S.A.W serta Ulil amri iaitu pemimpin dan jika berlakunya perselisihan faham atau pertikaian sesama kita, hendaklah diselesaikan menurut hukum Allah Subhanahu wa, Ta’ala dan ajaran Rasul-Nya.

Di sinilah sebenarnya titik pertemuan antara Raja dan Ulama bagi sama-sama mendapat keredaan Allah SWT demi kepentingan ummah. Dalam lima dekad pemerintahan Kebawah Dulli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kedudukan
Agama Islam makin bertambah kukuh sebagai tunggak dalam pemerintahan beraja di bumi Brunei Darussalam.

Adalah menjadi hasrat dan visi Baginda mahu mengujudkan sebuah negara yang aman sejahtera di bawah keredaan Allah Subhanahu Wa’tala seperti yang disebut dalam Al-Quran, Surah Saba, ayat 15 iaitu “(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”.

Alhamdulillah, hampir lima dekad dibawah kepimpinan Baginda, kita telah menikmati dan berusaha untuk mengekalkan segala rahmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa’tala pada setiap hamba-Nya di muka bumi Brunei Darussalam ini.

Dalam sejarah pemerintahan beraja di Negara Brunei Darussalam, Baginda adalah merupakan sultan ketiga yang memerintah sehingga 50 tahun.

Ini adalah gambaran kepimpinan seorang raja yang berjiwa dan berkeperibadian Islam sejati yang mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu wa, Ta’ala, demi kesejahteraan umat Islam dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Pemerintahan yang sentiasa menegakkan kesucian Agama Islam yang diamalkan turun temurun memang telah sebati menjadi corak pemerintahan yang sesuai bagi rakyat dan penduduk negara ini dalam menyatupadukan rakyat dan mengujudkan laila aman dan damai.

Inilah rahmatnya kepimpinan seorang raja yang melaksanakan ajaran Islam ’al-amru bil ma’ruf wan nahyu ’anil munkar’ iaitu berbuat baik dan menegah kejahatan.

Comments

Popular posts from this blog

Brunei Royal Wedding 2015: Profile of Royal Bride Dayangku Raabi'atul Adawiyyah

Family Titles in Brunei

Pulau Cermin - Brunei's Historic Island